
IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, berjaya menangkap seekor gajah jantan yang sering memasuki kawasan kampung dan merosakkan tanaman di Kampung Plang, Gerik, kira-kira 200 kilometer dari sini.
Menurut Perhilitan Perak, operasi menangkap gajah seberat kira-kira dua tan itu bermula pada 5 Oktober llepasoleh Unit Tangkapan Gajah Perak (UTGP), sebelum mamalia tersebut ditangkap Isnin lalu dan dipindahkan ke Taman Negara Terengganu hari ini.
Katanya, proses pemindahan gajah jantan berusia antara 12 dan 14 tahun, melibatkan 20 kakitangan Perhilitan Perak dengan dibantu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Lanchang, Pahang serta dua ekor denak yang diberi nama Rambai dan Alam.
“Gajah liar ini dipercayai daripada Kumpulan Belum yang dianggarkan kira-kira 45 ekor. Siasatan mendapati gajah berkenaan terpisah daripada kumpulannya dan menjadikan Hutan Simpan Gerik sebagai kawasan berkeliaran.
“Kumpulan gajah ini merupakan gajah yang sama menganggu kawasan Felda Bersia, Kampung Pecah Batu, Kampung Bongor, Lebuhraya Timur Barat dan kawasan sekitarnya,” demikian menurut kenyataan Perhilitan Perak.
Tambah Perhilitan Perak, gajah itu memasuki kawasan kampung untuk mencari makan dan menyebabkan penduduk takut untuk ke kebun, selain merosakkan tanaman seperti getah, kelapa, tebu dan durian.
Gajah terbabit merupakan gajah kedua yang ditangkap UTGP di kawasan sama, selepas gajah pertama dipindahkan ke Santuari Gajah Negeri Terengganu tahun lepas.