Perjuangan barisan depan pada tahap kritikal

0
214
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menyifatkan peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sabah dengan pengesanan kluster demi kluster meletakkan perjuangan barisan depan kini pada tahap kritikal.

Bagaimanapun Dr. Noor Hisham berkata, ‘peperangan’ kumpulan frontliners di Sabah kini menumpukan beberapa strategi dan pendekatan untuk memutuskan rantaian wabak daripada terus menular.

“Strategi kami berdasarkan kepada pemantauan komuniti, pengesanan kontak, ujian, pengasingan dan merawat semua yang dijangkiti.

“Selain itu usaha penting juga termasuk memperketatkan sempadan negeri dan daerah,” katanya melalui ciapan di Twitter hari ini.

Kes Covid-19 yang dikongsi Dr. Noor Hisham Abdullah.

Ciapan pada pukul 2 pagi tadi itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang berkongsi kerisauan mengenai penularan Covid-19 di Sabah dan menasihatkan beliau mendapatkan rehat yang cukup.

Tidak kurang juga yang memberi kata-kata semangat kepada Dr. Noor Hisham supaya terus komited dalam usaha memutuskan rantaian wabak khususnya di negeri Sabah.

Kementerian Kesihatan (KKM) semalam melaporkan 561 kes baharu di negara ini dengan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi, sebanyak 488 kes.

Penularan Covid-19 di Sabah memuncak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila kerajaan memberi kelonggaran kuarantin kepada mereka yang pulang dari negeri tersebut.

Penularan yang turut meerebak ke Semenanjung Malaysia menyaksikan kes melonjak dari 2,888 kes kepada 4,433 kes sepanjang penularan gelombang ketiga Covid-19.

Semalam, Dr. Noor Hisham mengumumkan tahap kesihatan awam dan perubatan di negeri Sabah masih berfungsi seperti biasa walaupun terdapat kekangan akibat kes Covid-19 yang tinggi di negeri itu.

Beliau turut menafikan sistem penjagaan kesihatan awam dan perubatan di negeri itu lumpuh seperti didakwa sebuah portal baru-baru ini.

Jangkaan peningkatan kes Covid-19 yang dikongsi Dr. Noor Hisham Abdullah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here