‘Personal Shopper’ untuk pelanggan OKU di Malakat Grocer 812

0
217
Kakitangan Malakat Mall bersama pelanggan OKU yang dibantu semasa membeli-belah Malakat Grocer 812. Foto : Norden Mohamed.

CYBERJAYA – Malakat Grocer 812 iaitu rangkaian pasar raya utama milik Malakat Mall baru-baru ini melancarkan kempen ‘Personal Shopper’ bagi membantu golongan kurang upaya (OKU) membeli-belah dengan lebih selesa di pasar raya itu.

Ketua Pegawai Operasi Malakat Grocer 812, Hani Noorashiqin Abd Majid berkata, kempen yang diperkenalkan itu merupakan sebahagian daripada usaha Malakat Mall menyediakan pengalaman terbaik kepada pelanggan terutama golongan OKU.

“Melalui kempen ini kami menerapkan nilai-nilai kemanusiaan kepada setiap kakitangan Malakat Grocer 812 untuk sentiasa peka dan bersedia dalam memberi bantuan kepada pelanggan.

“Selain menyediakan kemudahan laluan ke pasar raya yang mesra OKU, bantuan kakitangan diharap dapat mengurangkan beban golongan itu ketika mereka membeli-belah di sini,’’ katanya.

Hani Noorashiqin Abd Majid

Mengulas lanjut, Hani berkata, kempen itu merupakan khidmat tanggungjawab sosial yang memberi layanan kepada golongan OKU bermula dari pintu masuk sehingga mereka meninggalkan pasar raya.

Katanya, antara bantuan yang disediakan adalah mengiringi pelanggan ke bahagian jualan produk atau barang yang diperlukan, menolak troli, membantu membuat pembayaran sehinggalah mengangkat barang ke kenderaan pelanggan.

“Kami tidak menyediakan pekerja khusus untuk tujuan ini tetapi ia lebih kepada ‘servis percuma’ yang akan sentiasa diterapkan kepada kakitangan untuk menghulurkan bantuan sebagai insan kepada pelanggan,’’ katanya.

Melalui khidmat itu katanya, beliau berharap orang ramai terutama golongan OKU dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here