
CYBERJAYA – Orang ramai terutamanya di sekitar Lembah Klang mula melakukan pembelian panik susulan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Khamis ini di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Tinjauan di beberapa lokasi mendapati orang ramai mula mendapatkan barangan basah dan kering terutamanya beras, telur, minyak, sayuran, ayam dan lain-lain.
Dalam pada itu, beberapa perkongsian gambar oleh warga maya dalam media sosial turut menunjukkan orang ramai beratur panjang untuk membeli barangan keperluan harian.

Sementara itu, tinjauan di pusat beli belah Malakat Mall, Cyberjaya mendapati barangan basah dan makanan menjadi tumpuan pelanggan.
Menurut jurucakap pusat beli belah itu, pihak Malakat Mall akan beroperasi seperti biasa berikutan keputusan kerajaan untuk membenarkan sektor ekonomi beroperasi ketika tempoh PKPB.


Bagaimanapun, katanya, bagi kemudahan pelanggan, pihak Malakat Mall menyediakan
perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan terutamanya di kawasan sekitar.
Katanya, turut disediakan ialah lebih 50 menu popular yang terdapat di restoran di Malakat Mall.
“Pelanggan hanya perlu imbas di QR Code yang disediakan untuk memilih pelbagai jenis hidangan makanan dan barang keperluan harian.
“Penghantaran adalah percuma dan tiada pembelian minimum. Menerusi perkhidmatan Malakat Hantaq, kami bersedia hantar apa sahaja dari Malakat Mall terus ke rumah anda, ” ujarnya.-MT