PM kuarantin diri 14 hari

0
93

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman beliau selama 14 hari.

Tindakan ini susulan penilaian risiko yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan mesyuarat yang beliau pengerusikan pada 3 Oktober lepas turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang disahkan positif Covid-19, hari ini.

“Berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuarat ini telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dan dipakaikan gelang pengawasan,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya akan menjalani kuarantin di kediaman saya selama 14 hari mengikut nasihat yang diberikan KKM

“Hal ini bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan Kerajaan. Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan,” kata kenyataan itu lagi.

Muhyiddin turut menambah, beliau telah menjalani ujian saringan Covid-19 setiap dua minggu sejak April lalu

“Selain itu, saya telah melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September dan didapati negatif,” tambah kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here