PRK Batu Sapi: Petugas SPR luahkan kebimbangan dijangkiti Covid-19

0
167

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Ramai petugas pilihan raya melahirkan rasa bimbang untuk bertugas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi nanti kerana takut terkena jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebimbangan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya hari ini.

“Ada pihak mencadangkan kepada saya supaya kita perketatkan prosedur operasi standard (SOP) SOP pilihan raya. Ya, boleh. Saya akan teliti SOP yang disediakan oleh SPR untuk PRK Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak. 

“Cuma saya tahu banyak kekangan yang dihadapi oleh SPR untuk menggubal satu SOP yang benar-benar berkesan dalam memastikan tiada jangkitan langsung semasa pilihan raya diadakan.

“Antaranya ialah kekangan untuk menghalang pergerakan pengundi di kawasan merah untuk keluar mengundi kerana mereka ada hak untuk mengundi di sisi perlembagaan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai Situasi Semasa Covid-19 hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, dalam situasi PRK Batu sapi, kawasan tersebut adalah zon merah dan penduduk di kawasan itu diminta duduk di rumah.

“Tetapi oleh kerana ada pilihan raya mereka terpaksa keluar beramai-ramai untuk mengundi. Mungkin peratusan keluar mengundi akan menjadi rendah, tetapi itulah demokrasi.

“Begitu juga pergerakan pengundi dari kawasan merah ke kawasan hijau juga tidak dapat dihalang,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here