Projek pembiayaan tanpa unsur riba sepenuhnya dilancarkan secara rasmi

0
888
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim memasukan duit ke dalam tabung infaq Bank Koperasi Tanpa Riba (Noriba) semasa merasmikannnya di Malakat Mall.

RAUDHAH CITY – Pengasas pusat beli belah Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim hari ini melancarkan secara rasmi projek NORIBA sebagai usaha untuk menyediakan pinjaman kewangan tanpa unsur riba sepenuhnya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, menerusi usaha itu pihaknya menyasarkan untuk mengumpul dana melalui infaq atau sumbangan daripada orang ramai.

“Bila kita nak keluar daripada sistem riba, kita perlukan dana yang cukup besar sebab kita ada kira-kira 20 juta penduduk muslim di Malaysia.

“Jadi, untuk selamatkan semua orang kita kena mulakan dahulu. Apa yang kita nak buat ialah dengan memberi infaq minimum RM10 tapi sasaran kita ialah RM100, kalau nak bagi lebih pun tak ada masalah sebab ini dana infaq.

“Daripada dana ini kita sasarkan sejuta umat Islam menyumbang RM10 sebulan dan untuk setahun kita dapat RM120 juta. Kalau kita sasarkan RM100 setiap bulan untuk sejuta umat Islam, kita akan dapat RM1.2 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Dana NORIBA Infaq di Malakat Mall, Cyberjaya hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan laman sesawang noriba.io bagi membolehkan umat Islam di luar negara atau dalam negara menyumbang sekurang-kurangnya RM10 untuk projek NORIBA.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim memberi penerangan mengenai Bank Koperasi Tanpa Riba (Noriba) semasa majlis pelancaran di Malakat Mall. – FARIDJANUDIN/MT

Menyentuh lebih lanjut, Coach Fadzil berkata, dana itu kemudiannya akan dibahagikan kepada dua bahagian yang mana 50 peratus untuk dilaburkan ke dalam projek strategik manakala bakinya untuk pembiayaan kewangan.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan dalam tempoh setahun atau lebih awal dari itu untuk menyediakan pembiayaan tanpa riba kepada orang ramai.

Tabung infaq noriba dilancarkan.

Katanya, sebagai permulaan pihaknya menggunakan platform Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) untuk menguruskan dana berkenaan.

“Kalau pinjam RM5,000 bayar RM5,000. Untuk masa sekarang kita sudah putuskan pinjaman peribadi jumlah maksimum ialah RM5,000; pembiayaan untuk kereta dan pendidikan jumlah maksimum sebanyak RM50,000 manakala untuk pembiayaan rumah maksimum RM500,000.

“Untuk meminjam dana ini kita akan buat satu penilaian tetapi bukan penilaian kredit seperti yang dilakukan sekarang.

“Sebaliknya, kita akan buat penilaian ‘spiritual’. Misalnya, adakah orang ini baik? Adakah dia taat pada perintah Allah dan Rasullullah? Ini keutamaan kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Coach Fadzil berkata, sekiranya individu berkenaan gagal membayar semula pinjaman berkenaan, pihaknya tidak akan mengambil tindakan memufliskan individu tersebut.

Jelasnya, peranan mereka bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi mahu bersama-sama masuk ke syurga milik Allah di akhirat kelak.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here