Satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di KL miskin mutlak – UNICEF

0
337
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Satu kajian oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) mendapati, satu daripada dua keluarga pendapatan rendah di ibu kota berada dalam kemiskinan mutlak.

Kajian yang sama turut mendapati, 37 peratus daripada golongan berkenaan sukar membeli bekalan makanan mencukupi.

Menurut UNICEF, kajian fasa kedua ini yang dinamakan ‘Keluarga di Pinggiran’, dijalankan di antara tempoh akhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga September lalu.

Menurut wakil UNICEF di Malaysia, Dr. Rashed Mustafa Sarwar, dapatan ini sedikit sebanyak menunjukkan aspek perlindungan sosial perlu dititikberatkan dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Ia bagi memastikan tiada keluarga dan kanak-kanak keciciran dalam usaha Malaysia menangani pandemik COVID-19,” kata Rashed dalam satu kenyataan, semalam.

Laporan itu yang melibatkan 500 buah keluarga yang mendiami flat kos rendah di 16 buah lokasi di sekitar Kuala Lumpur, turut mendapati beberapa kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah berisiko berhenti sekolah ekoran kesan kewangan dan psikologi susulan pandemik Covid-19.

Laporan berkenaan turut mengesahkan kesan psikososial negatif ekoran Covid-19 dengan hampir satu daripada lima individu berasa tertekan, khususnya dalam kalangan isi rumah diketuai wanita.

Sementara itu, wakil UNFPA di Malaysia, Najib Assifi menegaskan, terdapat keperluan mendesak untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial, khususnya bagi isi rumah diketuai wanita.

“Program seperti ini akan memberikan kerjasama penting untuk melindungi masyarakat, sektor tidak formal, golongan warga emas, OKU dan kanak-kanak,” kata Najib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here