
CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa semua sekolah yang berada di dalam zon merah Covid-19 akan ditutup, dengan para guru dan pelajar yang terlibat dibenarkan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara atas talian.
Kata KPM dalam satu kenyataan sebentar tadi, sehubungan itu, semua sekolah di daerah Klang, Selangor serta daerah Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah akan ditutup bermula 8 Oktober (esok) sehingga 23 Oktober.
“Selaras dengan perutusan Khas Perdana Menteri pada 6 Oktober berhubung keputusan Kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan zon merah di seluruh negara, KPM memaklumkan bahawa semua sekolah yang telah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditutup,” kata KPM dalam kenyataan tersebut.
Penutupan ini akan melibatkan sebanyak 142 buah sekolah di daerah Klang dan 242 buah sekolah keseluruhan di tiga daerah di Sabah, dan merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.
“Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.
“Walau bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah, akan berada di bawah penjagaan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” kata kenyataan itu lagi.
Bagi sekolah yang terlibat dengan penutupan ini dan sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), KPM berkata, pihak sekolah dibenarkan untuk menjadualkan semula peperiksaan ke tarikh lain yang bersesuaian.