Sistem pencegahan kebakaran dalam rumah tradisional Melayu

0
158
Rumah tradisional yang terdapat di alam Melayu

SAAT ini, keluarga dan sahahat-sahabat saya di Selangor sedang diuji dengan keputusan bekalan air. Semoga terus tabah atas dugaan yang agak berat ini dan semoga kerajaan Selangor dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera.

Kepentingan air dalam kehidupan seharian kita mencapai tahap paling mustahak, terutama bagi tujuan ibadat dan sumber minuman. Hal ini mengingatkan saya tentang kepintaran silam dalam mengurus dan mengelola penggunaan air di rumah.

Dalam ilmu pembinaan rumah tradisional Melayu, ada beberapa ruangan yang penting bagi membentuk sebuah rumah iaitu serambi, rumah ibu, bilik, ruang selang dan dapur. Manakala tandas dan bilik air dibina terpisah dari rumah.

Ruang selang terletak antara dapur dan rumah ibu yang merupakan ruangan induk. Antara kepentingan ruang selang ini adalah seperti berikut:-

1) tempat masuk tetamu perempuan
2) tempat berehat isi rumah wanita
3) kawasan penebat kebakaran
4) tempat mandi jenazah

Oleh kerana dapur-dapur pada zaman dulu menggunakan dapur kayu, jadi ruang dapur mudah terbakar. Sehubungan itu, ruang selang berfungsi sebagai penebat kebakaran iaitu menghalang api dari dapur merebak ke bahagian rumah ibu, bilik, dan serambi.

Hasanuddin

Dengan itu, ruang selang ini kebiasaannya tidak berbumbung atau berbumbung tetapi terdapat lubang untuk air hujan masuk. Air hujan yang turun akan dicorongkan ke tempayan-tempayan yang disusun di dinding antara ruang selang dan dapur.

Sekiranya berlaku kebakaran dari dapur, maka api dapat dipadamkan atau dicegah dari air tempayan-tempayan yang diletakkan di ruang selang.

Air hujan yang tersimpan dalam tempayan-tempayan yang diletakkan di ruang selang itu bukan sahaja berfungsi penebat kebakaran, malah ia juga digunakan sebagai sumber air wuduk, air minum dan air untuk memasak.

Sebab itu jugalah ruang selang ini selain berfungsi sebagai kawasan penebat kebakaran, ia juga berfungsi sebagai tempat memandikan jenazah. Begitulah kepintaran ilmu senibina Melayu silam dalam mengelola dan mengurus ruang serta sumber alam.

Oleh: Hasanuddin Yusof
(Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam)

PENAFIAN: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here