Sungai Semenyih masih tercemar, gangguan bekalan air masih berterusan

0
261
Pencemaran yang berlaku di Sungai Semenyih menyebabkan 247 kawasan mengalami gangguan bekalan air

CYBERJAYA – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi masih belum beroperasi sepenuhnya ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih sejak semalam.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, sehingga jam 7:30 pagi, pencemaran masih lagi di kesan di Sungai Semenyih dan berada pada tahap 5 TON di Muka Sauk LRA Bukit Tampoi dan 7 TON di Muka Sauk LRA Sungai Semenyih.

“Dalam tempoh lebih 14 jam ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 274 kawasan.

“Dan pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual tidak dapat ditentukan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, katanya, Air Selangor menyarankan para pengguna untuk mengambil bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Katanya, para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat yang telah disediakan.

“Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

“Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here