
CYBERJAYA – Seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang melarikan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini didapati mendapat bantuan daripada dua pengawal peribadi.
Memetik laporan Harian Metro, lelaki yang dikaitkan dengan sindiket Macau Scam itu melarikan diri selepas melihat anggota polis sudah menunggu untuk menangkap mereka.
Menurut sumber SPRM, dalam kejadian pada 11 Oktober lalu, seramai sembilan suspek yang dilepas reman, dibawa balik ke pejabat SPRM untuk proses dokumentasi jaminan.
“Sesampai sahaja di pejabat SPRM, kelihatan ramai pegawai polis berkumpul di lobi utama.
“Ini menyebabkan kesemua suspek tidak mahu keluar daripada kenderaan masing-masing. Ada dikalangan ahli keluarga suspek juga hadir untuk proses jaminan.
“Terdapat kekecohan berlaku di lobi utama bangunan SPRM bila kesemua OKT (orang kena tahan) enggan turun daripada kenderaan kerana kehadiran anggota polis yang ramai di lobi Ibu Pejabat SPRM,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, suspek tersebut kemudiannya masuk ke dalam kenderaan velfire bersama-sama peguam, pengawal peribadi dan pemandu.
“Suspek sememangnya telah masuk ke dalam kenderaan dan dilihat menuju ke pintu pagar utama.
“Walau bagaimanapun dalam pergerakan antara pintu lobi dan pagar utama, beliau dipercayai bertindak keluar dari kenderaan dan melarikan diri di pagar sisi (berdekatan pintu belakang bangunan SPRM) dengan dibantu dua lagi pengawal peribadi yang bersedia untuk membantu beliau memanjat pagar dan meloloskan diri dari tangkapan polis.
“Apabila pihak polis menahan Velfire yang melalui pintu pagar utama, baru disedari suspek terbabir sudah melarikan diri.
“Hasil semakan CCTV mendapati suspek memanjat pagar dengan bantuan dua bodyguard. Sebuah kereta Perodua Myvi dilihat menunggu di tepi jalan dan bertindak melarikan suspek,” katanya.