
CYBERJAYA – Pandangan yang mengaitkan pemakaian serban sebagai pakaian tradisi orang Arab dan tidak perlu dijadikan amalan umat Islam bukan berbangsa itu adalah dakyah yang mahu menolak kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.
Dr. Taha Mohd Omar berkata, walhal jika kita meletakkan berserban itu sebagai adat sekalipun, ia adalah semulia-mulia adat kerana baginda adalah semulia-mulia makhluk yang dijadikan Allah.
“Amalan tersebut merupakan perbuatan yang cukup digemari baginda Rasullah dan termasuk dalam tuntutan sunnah Fi’liyah.
“Sekalipun ia pakaian tradisi orang Arab, tapi kaitannya dengan peribadi Rasulullah meletakkannya sebagai pakaian yang mempunyai nilai dan kehormatan tersendiri,” katanya pada Program Berserban Malakat Mall di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Taha berkata, pemakaian serban sama ada berkopiah di kepala atau tidak merupakan amalan harian Rasulullah dan baginda mempunyai tiga warna kegemaran iaitu hitam, hijau dan putih.
“Jadi tiada sebab untuk kita meletakkan pemakaian serban sebagai budaya orang Arab dengan niat untuk menolaknya,” katanya.

Program Berserban Malakat Mall katanya bertujuan menghidupkan semula tuntutan Rasulullah melalui pemakaian pakaian itu oleh kakitangan Malakat Mall.
Turut diadakan pada program itu adalah Cabaran Serban yang mempertandingkan tujuh pasangan suami isteri yang membuat ikatan serban pada suami masing-masing.
“Yang menariknya, mereka yang menyertaikan cabaran ini terdiri daripada suami isteri yang tidak pernah berserban sebelum ini.
“Semua peserta diberikan hadiah daripada penaja iaitu kedai Karkun dan produk Deep Faith,” katanya yang mahu program itu diteruskan pada masa-masa akan datang sebagai pendedahan kepada orang ramai.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd Fazdzil Hashim atau Coach Fadzil.

Program turut dimeriahkan dengan demonstrasi ikatan serban, bacaan hadis berkaitan amalan pemakaian serban dan demonstrasi produk Karkun seperti kopiah, sejadah, tasbih,kayu sugi, minyak wangi dan capal.
