Tropicana Golf & Country Resort dikenakan PKPD bermula 12 Oktober

0
366

Perintah PKPD dilaksanakan di asrama pekerja Tropicana Golf & Country Resort

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) akan dilaksanakan di asrama pekerja Tropicana Golf & Country Resort selama dua minggu bermula tengah malam esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah penutupan itu tidak akan meliputi rumah kelab dan unit kediaman penduduk.

“Hanya asrama pekerja yang akan berada di bawah PKPD bermula dari 12 Oktober hingga 25 Oktober,” katanya pada sidang media melalui Facebook hari ini.

Ismail Sabri berkata, mereka yang terlibat dalam perintah itu tidak akan dibenarkan keluar dari kediaman.

“Pihak berkuasa, termasuk pihak berkuasa negeri, akan menguruskan penghantaran makanan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, kompleks beli-belah 1Utama di Bandar Utama diperintahkan tutup selama tujuh hari bermula 12 Oktober ini untuk kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman.

Beliau berkata, pihak berkuasa kesihatan telah memulakan pencarian jejak ekoran beberapa pekerja di pusat beli belah itu didapati positif Covid-19.

Dalam pada itu katanya, orang ramai masih mempunyai tempoh dua hari lagi untuk melakukan perjalanan keluar dan masuk Sabah sebelum sempadan negeri ditutup pada 12 Oktober.

“Pergerakan ke Sabah dari Sarawak, Labuan dan Semenanjung Malaysia dan sebaliknya akan dilarang.

“Kami hanya akan membenarkan pergerakan untuk urusan rasmi kerajaan dan kes kecemasan, termasuk mengangkut orang mati,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan membuat penerbangan setiap hari ke Sabah untuk mengangkut anggota kesihatan dan menghantar sampel ujian Covid-19 ke Semenanjung Malaysia memandangkan kapasiti terhad di negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here