Tutup sekolah jika ada kes Covid-19 – KPM

0
341
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan mana-mana sekolah yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19 ditutup selama tujuh hari tanpa perlu menunggu analisis risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut KPM dalam satu kenyataan, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 semalam, susulan trend peningkatan kes wabak itu ketika ini.

“Dalam hal ini, sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 perlulah mematuhi garis panduan penutupan sekolah yang akan dikeluarkan oleh KPM,” katanya.

Tambah kenyataan itu, sejak sekolah dibuka semula pada 24 Jun lalu, sebarang keputusan untuk menutup kelas atau menutup sekolah adalah berdasarkan arahan daripada KKM.

Katanya, sepanjang tempoh itu sekiranya Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengesan terdapat kes Covid-19 di dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah, pihak PKD akan membuat analisis risiko secara menyeluruh ke atas jangkitan kes berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, merujuk kes positif melibatkan Sekolah Kebangsaan Presint 8 (1), Putrajaya dan Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur yang diarah tutup bermula semalam hingga 16 Oktober, ia dibuat susulan terdapat kes positif membabitkan warga sekolah itu.

Katanya, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan, disinfeksi dan pengesanan kontak rapat dijalankan oleh KKM.

Sementara itu, katanya, bagi murid sekolah berasrama yang berada dalam zon merah, mereka perlu kekal dan berada di asrama masing-masing.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here