Ujian bersasar di klinik Selcare kesan 4 positif Covid-19

0
75
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Empat daripada 573 individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dikesan positif Covid-19 dalam ujian saringan bersasar secara percuma di klinik Selcare.

Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, ujian yang disediakan untuk rakyat Selangor di klinik milik anak syarikat kerajaan negeri itu setakat ini telah mengesan kes positif Covid-19 iaitu dua dari Gombak dan masing-masing satu kes dari Puchong dan Subang.

“Kes dikesan sejak ujian saringan bersasar itu dijalankan di klinik berkenaan sejak Ahad sehingga semalam.

“Seramai 573 individu disaring, mereka yang didapati positif Covid-19 telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk rawatan dan penjejakan kontak,” katanya melalui Twitternya, hari ini.

Amirudin berkata, program yang disediakan di klinik Selcare milik Selgate Healthcare Sdn. Bhd. itu akan diteruskan dua hari lagi sebelum pihaknya memberi tumpuan terhadap saringan bersasar di mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jumaat lepas, kerajaan Selangor mengumumkan beberapa langkah persediaan menghadapi peningkatan kes baharu penularan wabak Covid-19 termasuk program saringan bersasar percuma kepada rakyatnya yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah pada 20 September hingga 26 September lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here