UM kurangkan bayaran yuran perkhidmatan universiti

0
327
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Universiti Malaya (UM) mengumumkan pengurangan Yuran Perkhidmatan Universiti sebanyak RM120 bagi setiap pelajar bagi tiga semester.

Pengurangan ini diumumkan menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Komunikasi Korporat UM, sebentar tadi.

Kata kenyataan itu, pengurangan yang dikenakan adalah bagi Semester 2 Sesi 2019/2020 serta Semester 1 dan 2 Sesi 2020/2021, dan merangkumi perkhidmatan Sukan dan Rekreasi, Perpustakaan, ICT dan Kesihatan/Kebajikan.

“Pengurangan ini diberikan kepada semua pelajar berstatus warganegara dan bukan warganegara,” kata kenyataan itu.

Jumlah keseluruhan pengurangan yuran ini adalah sebanyak RM2.7 juta bagi setiap semester yang melibatkan seramai lebih daripada 22,000 pelajar.

“Langkah ini merupakan salah satu daripada 11 inisiatif Bantuan UM Prihatin yang mula disediakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 di seluruh negara.

“Universiti akan sentiasa mengutamakan kebajikan para pelajar dalam mendepani cabaran normal baharu mutakhir ini,” kata kenyataan itu lagi.

Bagi pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengurangan yuran ini, boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Kewangan Pelajar dan Kolej, Jabatan Bendahari di talian 03-79673289 atau emel [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here