Usaha bendung Covid-19 ditentukan ‘nilai R’

0
136
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Risiko penularan wabak Covid-19 hanya akan dapat dikurangkan sekiranya kadar Nilai Kebolehjangkitan (RO) dalam negara berjaya diturunkan. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan jumlah kes yang dikesan setiap hari, nilai R bagi wabak Covid-19 pada ketika ini adalah pada unjuran nilai 1.5.

Beliau berkata, walaupun nilai itu sudah jauh menurun daripada bacaan 2.2 pada 20 September lalu, ia memberi gambaran peningkatan kes akan terus berlaku namun tidak secara mendadak.

Katanya, penurunan nilai R itu menunjukkan usaha yang dijalankan telah dapat mengelakkan daripada peningkatan kes secara mendadak.

“Bagaimanapun rantaian penularan ini akan berterusan secara mendadak jika tiada usaha dijalankan untuk menghentikannya.

“Menurunkan nilai R kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak,’’ kata Noor Hisham dalam sidang media hari ini.

Jangkaan penularan Covid-19 di dalam negara.

Beliau menjelaskan, nilai R merujuk kepada kadar kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu jangkaan berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh kes positif atau hos virus tersebut.

“Jika nilai R adalah empat, ini bermakna setiap seorang kes positif boleh menyebarkan penyakit kepada empat orang yang lain dalam satu tempoh kebolehjangkitan,’’ katanya.

Sebagai contoh katanya, nilai R ketika permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu adalah 3.5.

“Nilai R ini berjaya diturunkan sehingga 0.3 susulan impak positif tindakan yang diambil kerajaan serta pematuhan rakyat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan,’’ ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here