WFH: Sektor informal dibenarkan beroperasi seperti biasa

0
152

Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan membenarkan sektor yang dikategorikan sebagai informal sektor beroperasi seperti biasa dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara sektor berkenaan ialah peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, gerai-gerai makan, restoran dan medan selera.

Katanya, turut dibenarkan ialah kedai runcit, kedai serbaneka dan lain-lain.

“Begitu juga, pekerja bagi perkhidmatan pengangkutan seperti pengangkutan awam, bas ekspres, LRT, teksi, e-hailing dan khidmat penghantaran makanan juga boleh bekerja seperti biasa. 

“Majikan perlu mengeluarkan surat perlepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB ini,’ katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pelaksanaan arahan tersebut adalah sama seperti yang pernah dikuat kuasakan ketika pelaksanaan PKPB di seluruh negara pada Mei lalu.

Beliau menjelaskan keputusan itu diambil selepas kerajaan mengumumkan arahan bekerja dari rumah (WFH) berkuat kuasa esok bagi sektor kerajaan dan swasta berikutan penularan wabak Covid-19 terutamanya di Lembah Klang dan Sabah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here