10 universiti tempatan berada di kelompok 110 terbaik Asia

0
188
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad


CYBERJAYA- Buat julung-julung kalinya, 10 buah universiti tempatan yang terdiri dari tujuh buah Universiti Awam dan tiga buah Universiti Swasta kini berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, laporan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2021 semalam menunjukkan Universiti Malaya (UM) mendahului lain-lain universiti di tempat kesembilan.

“Diikuti Universiti Putra Malaysia (ke- 28), Universiti Sains Malaysia (ke-34), Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35), Universiti Teknologi Malaysia (ke-39), Universiti Teknologi PETRONAS (ke-70), Universiti Taylor’s (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (ke- 107) dan Universiti Teknologi MARA (ke-108).

“Kejayaan ini merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di atas landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noraini, tahun ini merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

Katanya, kejayaan ini juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia ini dan juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia.

“Selain itu, UM buat kali pertama telah berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini dengan mendapat tempat ke-9 berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas. 

“UM juga telah berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat ke-10 dalam penarafan tahun ini. Shang Jiao Tong University merupakan universiti terkemuka yang telah memperkenalkan Academic Ranking of World Universities atau lebih dikenali sebagai Shanghai Jiao Tong University Rankings yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu kataya, laporan tersebut turut menyenaraikan UM, UPM, USM, UKM UTM, UUM dan UiTM serta tiga buah universiti swasta iaitu Universiti Teknologi PETRONAS, Universiti Taylor’s dan Universiti UCSI sebagai 110 universiti terbaik Asia atau 10 buah Universiti terbaik Malaysia.

“Pada siri penarafan kali ini, 35 buah universiti tempatan telah tersenarai iaitu dengan pertambahan enam buah universiti baharu berbanding dengan 29 buah universiti yang tersenarai pada tahun lepas. 24 buah universiti telah berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, tiga buah universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas. 

“Dalam laporan QS juga dinyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini. Sistem pendidikan negara telah diterima sebagai bereputasi tinggi di kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here