
KANGAR – Sebanyak 18 lelaki warga Thailand dan tempatan direman bagi membantu siasatan kejadian berbalas tembakan antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand, dekat Padang Besar, semalam.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah, selepas mendapat permohonan polis bagi menyiasat semua suspek berusia antara 19 hingga 37 tahun berkenaan.
Memetik laporan Berita Harian, tiga warga Thailand direman selama tujuh hari sehingga 1 Disember ini, manakala 15 warga tempatan pula direman selama empat hari sehingga 28 November.
Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Kesemua suspek itu tiba kira-kira pukul 8.50 pagi.
Difahamkan, warga tempatan yang ditahan semalam, adalah antara ahli sindiket penyeludupan dadah dan ketum yang aktif di sempadan Malaysia-Thailand.
Semalam, seorang anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut manakala rakannya, Koperal Norihan a/l Tari, 39, cedera parah terkena tembakan ketika berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.
Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, semua tangkapan 18 individu itu dilakukan di sekitar negeri ini mulai pukul 7 pagi semalam.
Katanya, semua suspek dipercayai menjadi anggota sindiket penyeludupan ketum yang mempunyai kaitan dengan sindiket di negara jiran.