320,000 pekerja hilang pekerjaan akibat Covid-19

0
241
Datuk Seri Tengku Zafrul

CYBERJAYA – Kadar pengangguran di seluruh negara meningkat lebih 320,000 orang pada Mei lalu berikutan penularan pandemik Covid-19 dalam negara.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, secara keseluruhan sejak 10 tahun lalu hingga sekarang jumlah pengangguran dalam negara telah mencecah 820,000 orang.

Beliau berkata, jumlah itu adalah paling tinggi sejak tahun 1989.

“Melalui pembukaan semula ekonomi dan pelaksanaan inisiatif PRIHATIN dan PENJANA, kadar pengangguran telah turun kepada 4.7 peratus pada Ogos lalu.

“Bagi tahun hadapan, kerajaan akan melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang melibatkan penyediaan 500,000 peluang pekerjaan baharu termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui perbelanjaan kerajaan sebanyak RM3.7bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 hari ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan juga akan meneruskan inisiatif pengambilan pekerja di bawah Perkeso yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya dengan beberapa penambahbaikan.

Beliau berkata, antaranya dengan pemberian insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan, kepada 40 peratus daripada gaji bulanan.

Bagaimanapun, katanya, kadar itu terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.

“Bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU),
penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus,
menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus.

“Bagi sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, insentif khas sebanyak 60
peratus daripada gaji bulanan disediakan dengan 40 peratus disalurkan terus kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja
tempatan yang menggantikan pekerja asing.

“Ketiga-tiga perkara ini, insentif diberikan untuk tempoh enam bulan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, bagi mereka yang telah diambil bekerja di bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000
bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here