329 individu ditahan langgar SOP

0
95
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA- Sebanyak 329 individu ditahan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 311 individu dikompaun, lima individu direman manakala 13 individu lagi dijamin.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal mematuhi penjarakan sosial, tidak memakai pelitup muka selain kesalahan rentas daerah

“Kesalahan direkodkan membabitkan 131 kes tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (50), rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran (38) dan 51 bagi lain-lain.

“Pasukan operasi pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuat 57,256 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,945 pasukan pematuhan membabitkan 13,721 anggota membuat pemantauan di 3,751 pasar raya, 5,066 restoran serta 1,667 penjaja, 1,392 kilang, 3,526 bank dan 598 pejabat kerajaan. 

“Juga dipantau ialah 969 terminal pengangkutan darat, 233 terminal pengangkutan air serta 82 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu katanya, sebanyak 10,152 individu yang pulang dari luar negara melalui pintu masuk sempadan negara sedang menjalani proses kuarantin wajib.

”Jumlah itu adalah sebahagian daripada 73,713 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai lalu hingga semalam.

“Semuanya ditempatkan di 76 hotel dan 18 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan. 

“Seramai 63,156 individu pula sudah pun dibenarkan pulang,” katanya.

Ismail Sabri berkata, mereka yang pulang ke tanah air itu adalah dari 36 negara antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Jepun, Turki, Korea Selatan, Taiwan, China, United Kingdom dan Belanda.

Dalam pada itu katanya, menerusi Op Benteng, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa menahan 88 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati), lima tekong selain merampas 13 kenderaan darat. 

“Sebanyak 261 Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng dilaksanakan semalam.

“Orang ramai diminta menghubungi talian National Task Force (NTF) di 011 6251 1223 untuk menyalurkan maklumat berkaitan Pati dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here