Ahli Parlimen Bintulu mohon maaf selepas terlanjur kata Dr Noor Hisham ‘takut mati’

0
385
Datuk Seri Tiong King Sing

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing hari ini membuat permohonan maaf kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan petugas barisan hadapan lain di atas keterlanjurannya ketika perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau yang juga Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China itu berkata, beliau tidak berniat dan terdetik untuk menafikan amalan mulia semua yang terlibat sebagai barisan hadapan.

“Bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat berjalan lancar selain kepentingan serta keharmonian negara, saya membuat permohonan maaf sekiranya ada keterlanjuran kata ketika perbahasan Belanjawan 2021.

“Langsung tidak terdetik untuk saya menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan.

“Saya tidak mahu kerana saya, seluruh urusan Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

King Sing yang juga Presiden Parti Demokratik Progesif (PDP) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan Dr Noor Hisham sebagai ‘takut mati’ kerana dianggap tidak serius dan turun padang dalam menangani wabak Covid-19 di Sabah.

Bagaimanapun, kenyataan itu disangkal oleh Dr Noor Hisham yang berkata beliau sendiri telah turun ke Sabah pada bulan Ogos lalu untuk memeriksa persiapan yang dilakukan bagi menangani wabak itu ketika Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here