Anggota PGA maut selepas berbalas tembakan dengan penyeludup

0
280
Mendiang Koperal Baharuddin Ramli maut ketika berbalas tembakan dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand

CYBERJAYA – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang maut ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand pagi tadi sebelum itu terlibat dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup.

Menteri Keselamatan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 3 pagi di Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, Perlis.

“Siasatan awal mendapati kejadian ini bermula apabila dua anggota PGA sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian telah diserang oleh dua kumpulan, disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pagi tadi itu, Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, mengalami kecederaan parah.

Difahamkan, kedua-dua anggota itu merupakan Orang Asli berketerunan Senoi daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Bridget Utara PGA.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, Polis Diraja Malaysia telah diarahkan untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan tersebut.

Katanya, kerajaan memandang serius terhadap kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here