Arak dilarang dijual di kedai runcit, serbaneka di Kuala Lumpur bermula Oktober 2021

0
3086
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Berkuat kuasa Oktober tahun hadapan semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat Cina tidak dibenarkan menjual arak atau liquor kecuali bagi tujuan ubatan tradisional.

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Garis Panduan Lesen Minuman Keras, berkuat kuasa tarikh sama, tiada
lagi lesen baharu liquor yang memabukkan (LMK) dibenarkan diperbaharui untuk semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat Cina.

Katanya, lesen pembaharuan hanya dibenarkan sehingga 30 September tahun hadapan sahaja.

“Jenis LMK dan premis yang dibenarkan adalah secara borong, gudang, stor, rumah kedai dan kompleks perdagangan.

“Selain itu, rumah awam kelas 1, rumah keda, hotel, kompleks perdagangan. Untuk runcit pula melibatkan pasaraya, hypermarket dan kompleks perdagangan,” menurutnya.

Dalam pada itu, menurut garis panduan itu lagi, premis perniagaan menjual liqour yang memabukkan juga tidak boleh berhadapan dengan balai polis, rumah ibadah, sekolah
dan hospital.

Pada masa sama, had masa kedai yang dibenarkan menjual arak untuk beroperasi juga ditetapkan mengikut premis-premis berkenaan.

Bagi rumah awam kelas 1, waktu dibenarkan beroperasi ialah antara pukul 10 pagi hingga 12 malam manakala untuk sektor borong dari pukul 7 pagi hingga 9 malam.

Selain itu, untuk rumah bir dan runcit pula waktu dibenarkan beroperasi masing-masing sehingga pukul 12 dan 9 malam.

Sementara itu, DBKL berkata, garis panduan dan syarat permohonan lesen itu dibuat bertujuan untuk mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol serta kawalan keselamatan, kesihatan warga kota.

Jelasnya, garis panduan dan syarat itu juga telah disemak dan dibuat penambahbaikan melalui perbincangan dan permuafakatan bersama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Katanya, turut terlibat ialah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, pihak berkepentingan dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Garis panduan dan syarat ini boleh disemak melalui pautan di http://elesen.dbkl.gov.my (lihat di bawah tajuk Jenis Lesen – perkara no. 5) dan mula berkuatkuasa semalam,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya hari ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here