ATM sambut baik Belanjawan 2021

0
217
AFFENDI

CYBERJAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut baik Belanjawan 2021 yang diumumkan hari ini dalam membantu meningkatkan keupayaan ATM seperti yang telah dirancang dan disusun.

Dalam pembentangan belanjawan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen hari ini, Kementerian Pertahanan menerima peruntukan sebanyak RM16 bilion.

“Demi menentukan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dapat digalas dengan berkesan, amat penting bagi ATM mempunyai tahap kesiagaan aset yang bersesuaian.

“ATM memerlukan aset yang sentiasa berada pada tahap kesiagaan tertinggi agar keupayaan itu dapat dioperasikan sebilang masa sama ada semasa latihan, kesiagaan bertindak mahu pun keupayaan mobilisasi,” kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Pada masa yang sama, ATM turut menerima peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM2.3 bilion, dan juga RM500 juta bagi pembinaan hampir unit baharu Rumah Keluarga Anggota Tentera (RKAT).

“Keprihatinan kerajaan untuk terus memberi perhatian kepada aspek penyelenggaraan RKAT merupakan inisiatif yang mampu memberi keselesaan kepada anggota dan keluarga,” kata Affendi yang turut menambah, peruntukan ini boleh menyumbang kepada peningkatan moral warga ATM dalam memastikan kebajikan mereka sentiasa diutamakan.

“Adalah diakui bahawa kesiagaan ATM memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi.

“Namun demikian, kita akur dengan keadaan semasa dan sewajarnya keseluruhan warga ATM perlu sentiasa peka terhadap betapa pentingnya untuk mengimbangi keupayaan yang dihajati berdasarkan peruntukan kewangan yang mampu disediakan oleh kerajaan,” kata Affendi lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here