Belanjawan 2021: Agong zahir penghargaan

0
96

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah mengalu-alukan sokongan yang diberikan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara akibat wabak Covid-19.

‘’Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah mendokong titah nasihat Baginda pada 28 Oktober 2020 lalu untuk memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.

‘’Sesungguhnya, selain daripada pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat. Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak Covid-19,’’ katanya.

Ahmad Fadil berkata, selaku Ketua Negara, Al-Sultan Abdullah amat menghormati setiap tindakan pemimpin parti politik yang berdaftar di negara ini.

‘’Seri Paduka Baginda juga menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat,’’ kata beliau.

Sehubungan dengan itu Seri Paduka amat menghargai komitmen dan semangat muafakat setiap pihak kerana ia penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama.

‘’ Marilah kita sama merenung firman Allah Subhanahu wa Taala dalam Sural An- Nisa, ayat 85 yang bermaksud:

“Sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya. Dan sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang buruk nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan ingatlah Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”, menurut kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan kerajaan untuk menerajui pentadbiran negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here