Belanjawan 2021: Isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 diberikan bantuan RM1,200

0
397
Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz

CYBERJAYA – Bermula tahun hadapan kerajaan akan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan pemberian yang ditambah baik dan lebih bersasar.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, menerusi langkah itu isi rumah yang berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak layak menerima bantuan RM1,200.

Katanya, isi rumah yang mempunyai dua orang anak pula atau lebih akan menerima RM1,800.

“Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak bantuan RM800 akan disalurkan manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima RM1,200.

“Kerajaan turut membantu golongan berpendapatan antara RM4,001 hingga RM5,000. Kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai seorang anak dan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai lebih dua orang anak.

“Bagi individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula akan menerima RM350. Had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun yang mana sebelum ini 40 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, secara keseluruhan pemberian BPR itu dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here