
RAUDHAH CITY – Butik Anak Jantan iaitu butik khas untuk lelaki yang inginkan penampilan mereka tampak segak, elegan dan maskulin kini dibuka secara rasmi di pusat beli belah Malakat Mall, Cyberjaya.
Jenama Anak Jantan yang dibangunkan sendiri oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim dan pasukannya bakal menyediakan pilihan baharu yang lebih segar kepada pelanggan terutamanya yang mementingkan penampilan segak dan bergaya.
Menurut Mohd Fadzil, butik pakaian tersebut menyediakan pilihan pakaian dan aksesori lengkap untuk kaum Adam dari kepala hingga ke kaki.
“Konsep butik Anak Jantan ialah menyediakan pakaian harian terutamanya untuk golongan lelaki untuk ke pejabat.
“Idea untuk membuka butik ini ialah selepas kita melihat jenama tempatan seperti Giordano, G2000 dan lain-lain yang 10 tahun dahulu tidak dikenali tetapi sekarang menjadi jenama premium dan pilihan orang ramai.
“Idea ini kemudiannya kita kembangkan dan lahirlah Anak Jantan,” katanya yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil.


Terletak di aras satu di Malakat Mall, butik tersebut menampilkan konsep moden dan mewah.
Lebih menarik, rekaan dalaman butik tersebut diinspirasikan daripada butik-butik mewah terkenal di luar negara.
Penggunaan kayu dan perabot moden sebagai susun atur utama dalam kedai menambahkan lagi elemen elegan dan membangkitkan aura citarasa yang tinggi.
Sementara itu, Coach Fadzil berkata, sempena promosi pembukaan butik tersebut, pihaknya turut memberikan diskaun sebanyak 15 peratus terhadap beberapa barangan terpilih sehingga 4 Disember ini.-MT