Cemar Sungai Selangor jadi kes jenayah SOSMA pertama

0
157
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pertuduhan terhadap dua individu yang melakukan sabotaj kepada bekalan air di Selangor semalam menjadi kes jenayah alam sekitar yang pertama di negara ini yang didakwa di bawah Kanun Keseksaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan mengikut Kanun Keseksaan SOSMA itu juga adalah bukti kerajaan tidak berkompromi dalam pelaksanaan undang-undang berkaitan jenayah alam sekitar.

Dalam pertuduhan semalam, dua lelaki termasuk seorang pengarah sebuah syarikat didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan berbahaya ke dalam tempat rawatan kumbahan awam milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Jalan Velox Utama, Taman Velox, Rawang yang mana tindakan tersebut mengurangkan fungsi tempat rawatan kumbahan tersebut.

Kontraktor jalan, R Nathan, 43, dan pengarah sebuah syarikat, Lim Kian Aik, 42, yang mengaku tidak bersalah berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup. 

Tuan Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium (IWK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) atas komitmen dan kerjasama diberikan.

Beliau juga menyeru orang awam untuk terus melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here