Covid-19: 4 kluster baharu dikesan

0
202
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Sebanyak empat kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini dengan melibatkan kawasan-kawasan di negeri Sarawak, Sabah dan Lembah Klang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 1,168 kes baharu yang dikesan hari ini, sebanyak 112 kes adalah daripada empat kluster baharu itu.

“Empat kluster baharu ini ialah kluster Softwood LD di Sabah, kluster Teratai di Selangor, kluster Tapak Bina Damanlela di Kuala Lumpur dan kluster Mahkota yang melibatkan negeri di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, kluster Softlood LD melibatkan daerah Lahad Datu di negeri Sabah yang mana kes indeks bagi kluster itu ialah kes ke-34,985.

Katanya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 13 lagi kes positif Covid-19 dan kesemua mereka telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah PPR Payang.

Beliau berkata, kluster Teratai pula melibatkan daerah Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat di Selangor apabila satu kes indeks dikenal pasti dijangkiti Covid-19.

Dr. Noor Hisham berkata, hasil saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 73 lagi kes positif Covid-19 dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Kluster Tapak Bina Damanlela melibatkan daerah Lembah Pantai, Kepong, dan Titiwangsa di Kuala Lumpur. Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan tahanan pada 6 November lalu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 14 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, kluster Mahkota melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor; daerah Kepong dan Titiwangsa di Kuala Lumpur; daerah Sibu di Sarawak; dan Putrajaya.

Jelasnya, kes indeks bagi kluster itu telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat pada 30 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat yang seterusnya telah mengesan sebanyak lapan lagi kes positif Covid-19,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here