
Kementerian Kesihatan (KKM) sejak 12 tengahari semalam merekodkan 852 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif wabak itu sebanyak 40,209 kes di seluruh negara dengan 11,689 kes aktif.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, negeri Sabah masih mencatatkan kes tertinggi dengan 524 kes (61.5 peratus) daripada jumlah penularan.
Negeri Selangor mencatatkan 136 kes, Negeri Sembilan (104), Wilayah Persekutuan Labuan (23), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11), Pulau Pinang (18), Perak (7), Melaka (5), Kedah (3), Sarawak (2), Kelantan (2) dan masing-masing 1 kes di Terengganu dan Johor.
Daripada maklumat CPRC Kebangsaan, dilaporkan terdapat empat kes kematian berkaitan Covid-19 iaitu 2 kes di Sabah dan masing-masing 1 kes di Perak dan Kedah menjadikan kumulatif kematian 286 kes.
“Kesemua mangsa adalah warganegara dengan tiga daripadanya mempunyai latar belakang penyakit lain,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 94 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Semantara itu, daripada 852 kes baharu, sebanyak 13 kes dikesan dari luar negara melibatkan 8 warganegara dan lima bukan warganegara yang tiba dari Indonesia (3), Arab Saudi (3), Nepal (2), Maghribi (1), Emiriah Arab Bersatu (1), United Kingdom (1), Turki (1) dan Korea Selatan (1).