Covid-19: 957 kes baharu tanpa kematian

0
75

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 957 kes baharu positif Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 32,505 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula 10,036 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, semua kes yang dilaporkan itu merupakan kes penularan Covid-19 tempatan.

Dr. Noor Hisham Abdullah

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan 644 kes di Sabah dengan 97 kes adalah dari kluster sedia ada, manakala 401 kes dari saringan kontak rapat kes positif dan 146 kes lagi daripada lain-lain saringan Covid-19.

“Selangor merekodkan 225 kes dengan 172 kes dari kluster-kluster, termasuk 16 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Usaha, 39 kes daripada saringan kontak rapat kes positif dan 14 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

“Pulau Pinang pula mencatatkan 23 kes, iaitu 17 kes daripada kluster-kluster, termasuk satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Tembaga; dan enam kes daripada saringan kontak rapat kes positif,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19 kepada media, hari ini.

Pecahan kes di Terengganu adalah sebanyak 15 kes, diikuti Sarawak (11 kes), Negeri Sembilan (lapan kes), Perak (lima kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat kes), dan masing-masing satu kes di Kedah, Melaka dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sehingga kini, katanya, terdapat 97 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 249 kes (0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, KKM merekodkan dua kluster baharu yang telah dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Usaha dan Kluster Tembaga.

Kata beliau, Kluster Usaha itu melibatkan daerah Klang dan Petaling di Selangor dengan kes indeks bagi kluster berkenaan, iaitu kes ke-30,697 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 30 Oktober lalu.

Katanya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 16 lagi kes positif Covid-19, dengan semua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Bagi Kluster Tembaga pula, kata Dr. Noor Hisham, ia melibatkan daerah Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here