Covid-19 : Jumlah kes di Lembah Klang atasi Sabah

0
425
Jumlah kes positif mengikut negeri

CYBERJAYA – Jumlah kes positif Covid-19 di Lembah Klang hari ini mengatasi kes yang dilaporkan di Sabah yang sebelum ini sentiasa mencatatkan kes harian tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes yang dilaporkan di Lembah Klang hari ini ialah 661 kes atau 54.7 peratus.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 594 kes adalah daripada kluster-kluster.

“Kluster yang melaporkan kes yang tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Damanlela di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu sebanyak 460 kes,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, secara keseluruhan hari ini, sebanyak 1,208 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 47,417 kes.

Dalam pada itu, katanya, kes yang dilaporkan di Sabah pula sebanyak 381 kes atau 31.5 peratus.

Katanya, 67 kes adalah daripada kluster-kluster termasuk 14 kes daripada kluster baharu iaitu kluster Plaza dan kluster Jalan Kalabakan.

“191 kes pula daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan 123 kes daripada lain-lain saringan Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu, Negeri Sembilan terus mencatatkan peningkatan kes dengan 48 kes diikuti Pulau Pinang (42 kes), Labuan (30 kes), Perak (21 kes) dan Johor (sembilan kes).

Katanya, negeri lain yang mencatatkan kes ialah Kedah dengan lapan kes, Sarawak (empat kes), Melaka (dua kes), Kelantan (satu kes) dan Perlis (satu kes).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here