Covid-19: Kes di Selangor naik mendadak

0
73

CYBERJAYA – Kes baharu Covid-19 di Selangor naik dengan mendadak, apabila sebanyak 1,203 kes baharu dilaporkan pada hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, peningkatan ini adalah disebabkan kluster di tempat kerja yang melibatkan pekerja kilang membuat sarung tangan getah, Top Glove.

Secara keseluruhannya, negara mencatat kes harian Covid-19 tertinggi baharu hari ini apabila sebanyak 1,884 kes dilaporkan.

1,882 daripada kes yang dilaporkan adalah akibat penularan tempatan, manakala 2 lagi adalah kes import.

Selain Selangor, Sabah melaporkan sebanyak 289 kes baharu, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 196 kes.

Angka ini menjadikan keseluruhan kes Covid-19 yang dilaporkan di dalam negara kepada 56,659 kes.

Sementara itu, sebanyak 883 kes telah diklasifikasikan sebagai telah sembuh, menjadikan keseluruhan kes sembuh kepada 42,480 kes.

Setakat ini, terdapat 13,482 kes yang diklasifikasikan sebagai masih aktif, dan kesemuanya sudah diasingkan di hospital bagi menerima rawatan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 115 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 48 daripadanya diberi bantuan pernafasan.

Sementara itu, sebanyak 2 kes kematian dilaporkan menjadikan keseluruhan kes kematian akibat pandemik ini kepada 337 kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here