Covid-19: Lembah Klang terus catat kes tertinggi di seluruh negara

0
163
Orang ramai dan pelancong memakai penutup hidung dan mulut berikutan penularan Virus Korona ketika tinjauan di sekitar perkarangan KLCC.

CYBERJAYA – Jumlah kes baharu Covid-19 di Lembah Klang terus mencatatkan peningkatan apabila 518 kes baharu atau 42.8 peratus kes dicatatkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 435 kes atau 84 peratus kes adalah daripada kluster-kluster.

“Sebanyak 206 kes yang dilaporkan di Kuala Lumpur adalah daripada kluster Tapak Bina Damanlela yang kesemuanya melibatkan bukan warganegara.

“Sebanyak 142 kes atau 52.4 peratus yang dilaporkan di Selangor pula adalah daripada kluster Teratai yang melibatkan 131 (92.3 peratus) bukan warganegara. Kedua-dua kluster ini merupakan kluster yang melibatkan tempat kerja,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, Sabah yang sebelum ini sentiasa mencatatkan angka tertinggi, hanya mencatatkan sebanyak 499 kes.

Katanya, sebanyak 122 kes yang dilaporkan adalah daripada kluster Penjara Sandakan manakala 106 kes pula daripada kluster baharu iaitu kluster Avenue.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 172 kes yang dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di penjara iaitu kluster Penjara Sandakan (122 kes), kluster Tembok (20 kes), kluster Penjara Kepayan (16 kes), dan kluster Penjara Seberang Perai (14 kes).

Mengulas lanjut, katanya, secara keseluruhan jumlah baharu kes yang dilaporkan ialah sebanyak 1,210 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 12,788 kes.

Sementara itu, katanya, jumlah kematian yang dicatatkan hari ini adalah sebanyak lima (5) sekali gus menjadikan jumlah kumulatif ialah 318 kes.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here