Covid-19: Pecah rekod lepasi angka 2 ribu kes sehari

0
147
Jumlah kes baharu di seluruh negara

CYBERJAYA – Buat pertama kali sejak kes Covid-19 menular, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi dengan melebihi angka dua ribu kes untuk sehari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhan kes yang dicatatkan ialah sebanyak 2,188 kes dengan Selangor terus kekal mencatatkan kes paling tinggi.

“Selangor masih lagi mencatatkan pelaporan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,623 kes atau 74.2 peratus.

“Ini diikuti oleh Sabah iaitu sebanyak 232 kes atau 10.6 peratus dan Perak sebanyak 112 kes atau 5.1 peratus.

“Sebahagian besar daripada kes yang dilaporkan di Selangor adalah daripada Kluster Teratai dengan pertambahan sebanyak 1,511 kes atau 93.1 peratus,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, pertambahan angka itu adalah berikutan langkah pasukan perubatan dan kesihatan awam bantuan yang digerakkan ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk saringan secara besar-besaran.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 1,673 kes sembuh dicatatkan dan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan.

Katanya, tiga pesakit yang meninggal iaitu masing-masing kes 55,063; 55,064 dan 54,826 tidak mempunyai latar belakang penyakit lain.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here