Covid-19: Sabah sumbang separuh daripada kes kumulatif negara

0
138
Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Sabah sebanyak 20,422 kes menyumbang separuh daripada jumlah kumulatif kes dalam negara sebanyak 40,209 kes sejak penularan wabak itu.

Angka itu menjadikan Sabah negeri tertinggi yang merekodkan jangkitan Covid-19 dan mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 152 kes daripada keseluruhan 286 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Sabah yang mencatatkan jumlah kes positif baharu tertinggi sejak beberapa minggu lalu menyumbang kepada peningkatan mendadak kes kumulatif negara.

Dalam kenyataan di sini hari ini beliau berkata, jumlah yang mencecah separuh daripada jumlah kes dalam negara itu juga disumbang daripada penularan kes melalui jumlah kluster yang tinggi di negeri itu.

Masidi Manjun

Katanya, daripada 524 kes baharu dilaporkan hari ini, sebahagian daripadanya adalah daripada jumlah hasil saringan kontak rapat di tiga daerah di negeri ini.

Masidi turut memaklumkan bahawa Tawau mencatat kes tertinggi hari ini iaitu sebanyak 140 kes, diikuti Kota Kinabalu (135), Sandakan (119), Lahad Datu (37) dan Tuaran (30).

Keningau pula mencatat sebanyak 15 kes, selain Penampang dan Putatan masing-masing 11 kes, Papar (10), Kota Belud (tujuh), Semporna dan Kota Marudu (tiga), Telupid (dua) dan Sipitang (satu).

Dalam pada itu beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Semarak dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Balung di Tawau ditamatkan hari ini.

“Penamatan itu susulan penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati situasi kes Covid-19 di kedua-dua lokaliti ini mencatatkan penurunan kes dan terkawal.

“Atas nasihat KKM, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bersetuju agar pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti ini ditamatkan hari ini seperti yang dijadualkan.

“Bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh Sabah yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

Peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah meningkat secara mendadak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan 26 September lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here