Covid-19: Selangor catat lebih separuh kes hari ini

0
155
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 di Selangor terus melonjak apabila 603 kes atau 55 peratus daripada jumlah keseluruhan dicatatkan hari ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia diikuti Sabah yang melaporkan sebanyak 311 kes atau 28.4 peratus kes.

“Pelaporan kes positif Covid-19 yang tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya kluster berkaitan tempat kerja iaitu kluster Teratai dengan pertambahan sebanyak 502 kes atau 83.3 peratus.

“Sabah pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat iaitu sebanyak 139 kes,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, secara keseluruhan sebanyak 1,096 kes dilaporkan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, hari ini terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 335 kes.

Sementara itu, katanya, jumlah mereka yang telah sembuh dan dibenarkan keluar wad ialah 1,104 orang.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here