Covid-19 : SMK Jati di Ipoh ditutup tujuh hari

0
265
SMK Jati.

IPOH – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini dtutup selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 11 November berikutan kes positif Covid-19.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dr. Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, penutupan itu dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dijalankan dan untuk mengelak risiko jangkitan kepada pelajar dan kakitangan sekolah.

Beliau berkata, proses nyah kuman akan dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. 

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah diarahkan untuk memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah, dengan manual boleh dimuat turun menerusi portal rasmi www.moe.gov.my.

“Sekolah akan dibuka semula pada 12 November ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu, beliau memaklumkan, kontak rapat bagi kes itu telah dikesan untuk menjalani saringan Covid-19.

Arahan itu menjadikan dua sekolah di Perak setakat ini ditutup susulan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar serta kakitangan sekolah selepas Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiyah di Padang Rengas, kira-kira 40 kilometer dari sini turut ditutup bagi tempoh sama.

Sementara itu, di Kedah, dua buah sekolah ditutup selama tujuh hari bermula semalam sehingga 9 November ini ekoran penularan kes Covid-19 berkait dengan Kluster Bayan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Hayati Othman menjelaskan, sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman di daerah Kota Setar serta Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok di daerah Kubang Pasu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here