Darurat di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya?

0
45


CYBERJAYA- Kerajaan akan mencadangkan pengisytiharan darurat di Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah sekiranya kawasan itu mempunyai risiko penularan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu akan dibuat selepas merujuk kepada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, perkara itu di bawah peruntukan Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan dan dibenarkan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa sesuatu kawasan atau keseluruhan Malaysia ini boleh diisytiharkan darurat.

“Ini termasuklah apa yang dibuat dalam proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk isytihar darurat di kawasan itu menyebabkan PRk itu tidak perlu diadakan.

“Tindakan yang sama dijangka diberi pertimbangan oleh pihak kerajaan sekiranya suasana Parlimen Gerik dan DUN Bugaya mempunyai risiko yang sama setelah kerajaan merujuk kepada Kementerian Kesihatan dan MKN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 18 November lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi sekali gus membatalkan PRK kerusi itu yang ditetapkan pada 5 Disember.

Pada 27 November lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Gerik dan DUN Bugaya dijalankan secara serentak pada 16 Januari tahun hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here