DBKL digesa jelaskan kedudukan mengenai pengharaman penjualan arak

0
246

CYBERJAYA – Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa menjelaskan kedudukan mereka mengenai isu penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubatan Cina, berikutan ‘percanggahan kenyataan’ yang diuar-uarkan kepada umum.

Kenyataan tersebut disuarakan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang berkata, pada awalnya mereka menyambut baik kenyataan DBKL mengenai penambahbaikan Garis Panduan Permohonan Lesen Minuman Keras dan seperti yang dilaporkan juga oleh media-media arus perdana pada 15 November yang lalu.

Namun, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada 21 November lalu yang menyatakan, bir tidak tersenarai minuman keras yang memabukkan dan masih dibenarkan dijual di kedai runcit serta serbaneka adalah sesuatu yang mengejutkan.

“PEMBELA menuntut agar pihak DBKL memberikan penjelasan lanjut tentang kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan itu dan pada masa yang sama perlu tegas menguatkuasakan pengharaman arak secara menyeluruh iaitu meliputi bir juga kerana bir termasuk dalam kategori arak,” kata Presiden Pembela, Aminuddin Yahya dalam satu paparan di laman Facebook milik beliau, hari ini.

“Jika tidak, maka mengumumkan bahawa ‘DBKL telah mengharamkan arak’ adalah sesuatu yang mengelirukan, sekaligus akan mencalarkan integriti dan kredibiliti DBKL,” tambah Aminuddin lagi.

Aminuddin menerangkan, bahawa pengharaman penjualan segala jenis arak di tempat umum seperti kedai runcit dan serbaneka adalah selari dengan hukum-hukum syarak seperti yang terkandung dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Akta 559, Seksyen 19.

“Maka, adalah sangat berpatutan dan mempunyai asas yang kuat untuk DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan bertindak mengikut akta yang ada ini terutamanya dalam menetapkan apa-apa polisi termasuk dalam konteks penjualan arak ini,” tambah Aminuddin lagi.

Beliau turut berkata, PEMBELA pada umumnya menyokong segala usaha ke arah negara bebas arak untuk kesejahteraan seluruh masyarakat Malaysia selari dengan tuntutan-tuntutan syarak terutamanya dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam.

“(Oleh itu) PEMBELA mengajak NGO-NGO, parti-parti politik dan seluruh rakyat Malaysia menyokong inisiatif ini supaya usaha pengharaman penjualan arak di tempat-tempat awam dapat direalisasikan sekaligus menuju sebuah negara yang sejahtera, sihat dan selamat tanpa arak,” kata Aminuddin lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here