Denda RM1,000 main air banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas

0
132
Gambar hiasan

PASIR MAS – Sebagai usaha mengekang penularan Covid-19 di Rantau Panjang dan Pasir Mas, pihak berkuasa turut memasukkan ‘tradisi’ bermain air banjir sebagai kesalahan yang boleh dikompaun sehingga RM1,000.  

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, surat pemakluman mengenai tindakan kompaun itu sudah dihantar kepada Ketua Jajahan Pasir Mas dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pelaksanaan.

“Pihak kami khuatir akan berlaku pesta bermain air yang sudah sinonim dalam kalangan masyarakat negeri ini apabila tiba musim tengkujuh sekiranya tiada tindakan tegas diambil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tindakan itu katanya adalah sebahagian daripada usaha membendung penularan Covid-19 yang semakin meningkat di negeri itu.

Menurutnya setiap tahun apabila berlakunya banjir, pekan Rantau Panjang diibaratkan seperti ‘taman tema air’ bagi penduduk di Kelantan malah gerai jualan turut dibuka di sekitar kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad Roy berkata, sekiranya ada peniaga yang membuka gerai di sekitar Rantau Panjang berhampiran kawasan yang digenangi air seperti tahun-tahun yang lepas, mereka turut akan dikenakan tindakan tegas, melainkan jika mendapat kelulusan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM).

Katanya, beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengamalkan penjarakan fizikal dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here