Dua maut di hujung pedang dalam amukan Halloween

0
268
Pihak berkuasa menahan suspek dalam insiden amukan di Quebec Ahad lalu.

KANADA – Dua maut manakala lima cedera dalam kejadian amuk seorang lelaki berpakaian medieval lengkap dalam sambutan Halloween di kejiranan kota lama Quebec.

Ketua Polis Bandar Quebec, Robert Pigeon berkata, kejadian dipercayai dirancang oleh suspek yang berasal dari pinggir bandar Montreal kerana sanggup datang ke Quebec untuk melakukan jenayah.

“Suspek yang berpakaian zaman pertengahan Eropah dan memiliki sebilah pedang dipercayai memilih mangsa secara rawak dan berniat mencederakan seramai mungkin.

“Suspek berjaya ditahan selepas menyerah diri kepada pihak polis,” katanya memetik laporan akhbar Le Soleil semalam.

Pigeon berkata, lelaki dalam usia pertengahan 20-an yang tidak memiliki sebarang rekod jenayah itu didapati pernah merancang melakukan serangan ala medieval kira-kira lima tahun lalu.

“Siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai kaitan dengan pihak pengganas atau mana-mana kumpulan pelampau,” katanya.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dalam ciapan Twitternya menyifatkan kejadian sebagai insiden yang menghancurkan hati seluruh rakyat Kanada dan sukar diterima.

“Saya mendoakan mereka yang tercedera kembali pulih dan kami sentiasa sedia untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Lokasi kejadian. Foto : ICI Quebec




LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here