Erra Fazira selamat melangsungkan pernikahan hari ini

0
1030
Suami kepada Erra Fazira menyarungkan cincin ke tangan beliau dalam majlis pernikahan di Jawi hari ini

CYBERJAYA – Erra Fazira selamat melangsungkan pernikahan dengan pasangannya hari ini di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Pernikahan pasangan pengantin itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli al-Bakri.

Bagaimanapun, pengantin bernama Erra Fazira itu bukanlah artis dan selebriti terkenal tanah air, sebaliknya mereka berkongsi nama yang sama.

Zulkifli yang hadir dalam majlis tersebut turut terkejut pada mulanya kerana menyangkakan, pelakon terkenal itu yang bakal melangsungkan perkahwinan.

“Tahniah Puan Erra Fazira dan suami atas pernikahan sebentar tadi. Ia berlangsung di pejabat Jawi dalam tempoh tidak melebihi 20 minit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Jawi.

“Nama kebetulan sama, namun bukan individu yang disangka. Saya pun mula-mula terkejut. Ingatkan pelakon filem Sembilu,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Sementara itu, Zulkifli turut mendoakan ikatan perkahwinan pasangan pengantin baharu itu diberkati Allah SWT, berbahagia dengan pasangan masing-masing dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here