Filem animasi tempatan, Kring! harumkan nama negara di Norway

0
364
Kring! berjaya mengharumkan nama negara dalam industri animasi apabila memenangi Anugerah Filem Animasi Terbaik untuk Kanak-Kanak dalam Festival ReAnima yang dianjurkan di Norway

CYBERJAYA – Filem animasi pendek bertajuk Kring! yang dihasilkan oleh anak tempatan terus mencatatkan kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Filem Animasi Terbaik untuk Kanak-Kanak dalam Festival ReAnima yang dianjurkan di Norway, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Urusan Brainy Bones, Hilmi Ismail, dalam pengumuman pemenang yang dibuat hari ini, filem animasi itu berjaya mengatasi 11 lagi penyertaan yang datang dari seluruh dunia.

“Saya ucapkan terima kasih kepada penganjur dan peminat animasi di seluruh dunia yang mengundi animasi Kring! sehingga berjaya meraih anugerah ini.

“Dalam festival ini, Kring! bersaing dengan 11 lagi filem animasi dari seluruh dunia dan Alhamdulillah syukur, akhirnya kami terpilih untuk memenangi anugerah ini,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Sebelum ini filem animasi itu pernah memenangi Anugerah Animasi Terbaik di Festival Filem 4 Antarabangsa Du Sur Les Handicap 2020 (FIFH) di Lyon pada awal tahun ini.

Anugerah yang dimenangi Kring! dalam festival berkenaan

Filem animasi Kring! merupakan animasi pertama yang mengangkat tema masalah disleksia yang dihadapi oleh kanak-kanak di bangku sekolah.

Animasi tersebut memaparkan watak Cikgu Suraya yang merupakan seorang guru sekolah berdedikasi tinggi dan setiap hari membantu muridnya di sekolah.

Bagaimanapun, Cikgu Suraya menghadapi cabaran untuk membantu salah seorang muridnya yang mempunyai masalah dengan pembelajaran dan mempunyai imaginasi berbeza berbanding pelajar lain menerusi lukisan yang dihasilkannya.

Disebabkan itu, Cikgu Suraya memutuskan untuk mengambil masa tambahan untuk mengajar murid berkenaan dengan menggunakan kaedah yang dia selesa iaitu menerusi lukisan.

Hilmi Ismail

Sementara itu, Hilmi turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada mentor dan produser Brainy Bones iaitu Mohd. Fadzil Hashim serta mereka yang terlibat dalam menghasilkan animasi tersebut.

“Anugerah ini kami dedikasikan kepada seluruh penggiat industri animasi tempatan, pada masa sama kami juga mengucapkan terima kasih kepada Coach Fadzil yang sentiasa menyokong Brainy Bones pada setiap masa,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here