ISMA persoal siapa lindungi penerokaan tanah haram di Rompin

0
547
Laporan media mengenai penerokaan tanah di hutan simpan di Rompin, Pahang

CYBERJAYA – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempersoalkan sama ada pencerobohan tanah haram yang semakin berleluasa di Pahang dilindungi oleh seseorang sehingga mereka berani melakukan aktiviti haram itu tanpa gentar.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, pembongkaran baharu melibatkan pencerobohan tanah simpanan di Rompin seolah-olah menggunakan modus operandi yang sama seperti di Raub.

“Apakah ada ‘backup’ besar yang membuatkan mereka begitu berani dan rasa kebal?

“Mereka dipercayai akan membuka lebih luas kawasan tanaman durian Musang King kerana jentolak masih melakukan kerja pembersihan hutan selain banyak benih durian yang belum ditanam dan disimpan di tapak semaian.

“Jika dibiarkan lagi lama, entah berapa hektar lagi akan dijarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, sebuah akhbar membongkar mengenai pencerobohan tanah haram seluas 18 hektar di kawasan Hutan Simpan Lesong.

Dalam serbuan yang dilakukan oleh Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin pihaknya tutut menahan empat lelaki berumur antara 29 hingga 63 tahun dan menyita sebuah jentolak, masing-masing dua traktor dan jengkaut serta tiga kenderaan empat roda.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, penggunaan jentera berat dan besar dalam serbuan itu menunjukkan aktiviti haram itu bukan dibuat secara sembunyi lagi.

“Lebih menarik lagi, pihak pejabat hutan daerah sudah memberikan lima kali amaran sebelum ini. Lima kali amaran bukannya sedikit, dan itu pun tidak menggerunkan mereka.

“Sepatutnya sekali amaran sahaja sudah cukup, dan terus ambil tindakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai yang berani membuat serbuan itu.

“Saya pasti ini bukannya noktah bagi penceroboh ini kerana tidak mustahil ‘modus operandi Raub’ bakal diulang di mana akan wujud campur tangan politikus-politikus yang hadir kononnya membela ‘pekebun yang tertindas’.

“Sebab itulah kes Raub sebelum ini sangat penting untuk kerajaan negeri bertegas. Selepas ini kita tidak tahu hutan mana, di daerah mana pula akan ‘dicuri’.

“Moga Allah laknat segala pengkhianat yang bersengkongkol dalam ‘grand scandal’ ini,” tegasnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here