Jadikan lakaran capal atau barangan lain milik Rasulullah untuk raih untung perlu dielakkan

0
990
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Perbuatan menjadikan lakaran capal Nabi Muhammad SAW sebagai bahan untuk meraih keuntungan duniawi sehingga menimbulkan fitnah kepada orang awam perlu dielakkan oleh mana-mana pihak.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah berkata, perkara itu perlu dibasmi sekiranya dikhuatiri boleh berlaku kerosakan pada orang awam samada dari segi akidah atau hukum fiqah.

“Maka di sinilah datangnya peranan otoriti (pihak berkuasa) agama untuk melaksanakan apa yang sebaiknya dan ini masuk dalam kategori Sadd al Zari’ah (menghalang sesuatu keburukan).

“Dan ini tentunya akan memerlukan kebijaksanaan tertentu dan kaedah yang sesuai tetapi semua perkara itu hendaklah dilakukan tanpa ada elemen penghinaan dan memperolok-olok simbol tersebut yang dikaitkan dengan Rasulullah,” katanya dalam siri Bayan Linas bertajuk Lakaran Capal Rasulullah, Lakaran dan Tabarruk.

Mengulas lanjut, Luqman berkata, perbuatan itu pada asalnya berkait dengan perkara tabarruk iaitu perbuatan memuliakan atau mengambil keberkatan kepada Rasulullah.

Katanya, pada asalnya hukum tabarruk berdasarkan pendapat ulama keempat-empat mazhab utama dalam Islam adalah harus.

“Antara contoh-contoh tabarruk yang ada disebut dalam perbincangan tabarruk ialah
Rasulullah sendiri apabila mencukur rambutnya ketika haji Wada’ (haji terakhir), baginda memberikan rambut baginda pada seorang sahabat dan baginda memerintahkan agar diagih-agihkan kepada sahabat lain.

“Contoh lain, saidina Umar memegang mimbar Nabi SAW sebelum beliau berdoa lalu mengusapkan pada wajahnya,” ujarnya.

Bagaimanapun, Luqman berkata, hukum harus berkaitan isu tabarruk tidak sepatutnya membuka ruang pula kepada isu lain seperti menjadikan lakaran capal Nabi SAW sebagai bahan untuk meraih keuntungan.

Sementara itu, Luqman turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membahaskan isu tersebut supaya tidak menghukum individu lain sebagai syirik atau mempersendakan perkara berkaitan Rasulullah.

“Kesilapan yang berlaku ialah terus menghukum tabarruk dengan lakaran capal nabi adalah syirik dan sebagainya dan akhirnya telah melahirkan pula sikap-sikap sinis terhadap apa-apa yang di kaitkan dengan Rasulullah SAW.

“Tanpa disedari diri Rasulullah SAW yang dicintai telah dijadikan subjek gurauan dan sendaan.

“Oleh itu dinasihatkan agar dalam isu tabarruk ini hendaklah dalam ruang lingkup kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW dan berasaskan prinsip-prinsip syarak dan dalam satu sudut lain tidak pula memandang sinis terhadap apa-apa perkara yang berkaitan dengan baginda,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here