Jangan abai pendidikan awal kanak-kanak

0
121
Pembelajaran berterusan amat penting dalam perkembangan emosi dan intelek kanak-kanak.

PUTRAJAYA – Penutupan pusat pendidikan awal kanak-kanak termasuk tadika swasta berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan membantutkan proses perkembangan awal kanak-kanak dan memberi pelbagai kesan jangka masa panjang.

Setiausaha Persatuan Tadikan Islam Malaysia, Siti Ruzita Ramli berkata, kebergantungan pada kaedah pembelajaran secara dalam talian atau online semata-mata akan menjejaskan banyak aspek seperti perkembangan emosi, rohani dan hubungan antara murid dengan guru.

“Melalui pembelajaran secara online, banyak aspek akan terus terabai, penekanan hanya diberikan kepada aspek intelektual sahaja. Begitu juga tumpuan guru pada murid juga sangat terhad.

“Kanak-kanak adalah pemimpin masa depan kita, jika kita tidak mengambil langkah yang tepat dalam perkembangan emosi, ia akan memberikan kesan jangka masa panjang,”
katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Siti Ruzita Ramli

Beliau berkata demikian semasa penyerahan memorandum bersama persatuan serta pengusaha pusat pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah swasta di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Penyerahan memorandum itu bertujuan meminta kerajaan mengkaji semula kesan penutupan institusi pendidikan awal kanak-kanak berikutan PKPB dan menggesa kerajaan membenarkan pusat pendidikan yang berada di kawasan bebas Covid-19 dibenarkan beroperasi.

Hadir sama Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad dan Ketua Pegawai Operasi Brainy Bunch, Mawar Ashireem Razali.

Anisa Ahmad

Sementara itu, Anisa Ahmad, berkata kerajaan juga perlu memikirkan kesan penangguhan sesi pembelajaran secara terperinci bagi mengelak impak sosial khususnya dalam institusi kekeluargaan.

“Apa yang berlaku sekarang apabila ibu bapa bekerja di rumah adalah anak-anak terabai dan mereka haya ‘disuap’ dengan gajet sepanjang hari untuk alih perhatian.

“Ini memberi kesan emosi yang amat tidak sihat,” katanya.

Kemerosotan nilai kekeluarga dan emosi kanak-kanak itu katanya jika tidak ditangani dengan berstruktur akan menyebabkan kerajaan berbelanja lebih besar pada masa akan datang.

Selain itu katanya, situasi sama juga memaksa sesetengah ibu bapa mendapatkan khidmat ‘pengasuhan haram’ yang berisiko mengundang pelbagai masalah seperti kecuaian dan penderaan.

“Bayangkan kesukaran ibu bapa yang tetap perlu ke tempat kerja tetapi anak tidak dapat ke sekolah. Akhirnya mereka terpaksa menghantar anak-anak kepada pengasuh tidak berdaftar,” katanya.

Arahan penutupan institusi pendidikan awal kanak-kanak dan tadika swasta oleh kerajaan baru-baru ini menjejaskan kira-kira 5,000 pengusaha di seluruh negara membabitkan lebih 50,000 murid. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here